Alhamdulillah, solawat dan salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam yang dengan
nikmat utusan ALLAH melalui Baginda, dapat kita nikmati nikmat Iman dan
Islam pada hari ini.
InsyaALLAH, di sini saya cuba
ringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan
mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.
Saya petik dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan Safiyyu al-Rahman
al-Mubarakfuri.
Mudah-mudah2an bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.
Abdullah dan Aminah- ‘Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin ‘Abd manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, ‘Abdullah.
- Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
- ‘Abd al-Muttalib telah mengutus ‘Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
- ‘Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di. Ketika itu, ‘Abdullah berusia 25 tahun.
- Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah sebagai anak yatim.
- Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
- Peristiwa luar biasa (irhas) yang berlaku ketika dilahirkan:
- 14 lengkungan gerbang Istana Kisra gugur
- Api sembahan orang Majusi terpadam
- Gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh
- Apabila Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, dia terus ke Ka’bah lalu berdo’a dan bersyukur. Lantas diberi nama MUHAMMAD, nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
- Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.
Hidup Dalam Keluarga Bani Sa’ad (sehingga umur 4-5 tahun)
- Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat, supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
- ‘Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad untuk dipelihara oleh Bani Sa’ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa’diyyah.
- Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam oleh Jibril.
Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)
-
Selepas peristiwa pembelahan dada itu, Halimah risau akan keselamatan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
-
Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
-
Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
-
Dalam perjalanan pulan ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
-
Anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam itu terpaksa menjadi anak yatim piatu pada umur 6 tahun.
Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)
-
Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku. Peristiwa lama iaitu kematian anaknya Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
-
Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
-
Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
-
Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar Muhammad sallAllahu ‘alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.
Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)
-
Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
-
Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
-
Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah:
-
Hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam. Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
-
Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira. Seetlah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.” Bahira menasihatkan agar budak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya. Lalu Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
-
Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar. Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu2 mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
-
Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing. Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah. Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam. Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.
-
Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut. Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah. Maklumat ini diperolehi dari Maysarah. Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam. Khadijah ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju. Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
-
Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
-
Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH. Pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam mula menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar. Dan Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia…
-
WAllahu Ta’ala A’lam.
Saya sarankan tuan/puan untuk
mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman
al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci. Mudah2an rasa
cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, insan yang
telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan
semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam
dan mengamalkan segala sunnah2nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan